Inflasi tinggi: Warga AS bergelut penuhi keperluan hidup

Ramai penduduk Amerika Syarikat (AS) yang tinggal di kawasan paling teruk terjejas berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan hidup kesan daripada kadar inflasi tertinggi di negara itu. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Ramai penduduk Amerika Syarikat (AS) yang tinggal di kawasan paling teruk terjejas berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan hidup kesan daripada kadar inflasi tertinggi di negara itu. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

NEW YORK - Ramai penduduk Amerika Syarikat (AS) yang tinggal di kawasan paling teruk terjejas berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan hidup kesan daripada kadar inflasi tertinggi di negara itu, lapor Xinhua.

Laporan khas disiarkan CNN pada Khamis mengambil California sebagai sampel.

Kawasan berkenaan menyaksikan kadar inflasi tahunan sehingga 9.4 peratus pada Mei, menjadi angka tertinggi di AS dengan kadar inflasi di semua kawasan bandar yang dikaji Indeks Harga Pengguna Jabatan Buruh mencatatkan paras 8.5 peratus pada Mei, menurut laporan itu.

Di California, harga purata bagi gas adalah yang tertinggi di seluruh negara manakala kenaikan harga makanan dan minyak di kawasan berkenaan menyaksikan penduduk tempatan terpaksa mencari kaedah baru untuk berjimat dan mengumpul pendapatan tambahan.

Selain memotong perbelanjaan untuk daging dan mengelak daripada memandu, ramai penduduk mula mengumpul barangan yang boleh dikitar semula untuk dapatkan wang tambahan manakala sesetengahnya menumpukan pembelian di kedai yang menawarkan potongan harga selain ramai lagi yang terpaksa bergantung kepada bank makanan tempatan untuk mendapatkan bantuan.

Inflasi di AS kekal tinggi sejak empat dekad memaksa Rizab Persekutuan AS menguatkuasakan kenaikan 75 mata asas lagi pada Rabu, kenaikan kadar berturut-turut dalam tempoh beberapa dekad. - Bernama