Waspada penularan pantas subvarian Omicron BA.4, BA.5

Gambar hiasan -Foto123RF
Gambar hiasan -Foto123RF
A
A
A

SETIAP rakyat perlu terus berwaspada dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kendiri berikutan penularan Covid-19 subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 yang dikhuatiri bakal memberikan kesan yang lebih buruk kepada negara.

Kebimbangan itu disuarakan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Jumaat yang melihat subvarian yang sudah berada di negara ini sejak bulan lalu telah mula memberikan kesan kepada peningkatan kes.

Ia turut disokong dengan fakta bahawa kes Covid-19 meningkat dengan pantas daripada 3,000 sehingga 5,000 kes pada ketika ini dan boleh meningkat lebih tinggi jika tiada langkah berhati-hati diambil.

Malah, angka kebolehjangkitan (Rt) negara pada 1.12 bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-29 sekali gus menyaksikan subvarian tersebut mampu menjangkiti dengan pantas.

Dalam masa sama, timbul cakap-cakap yang mahu kerajaan mengetatkan sedikit SOP seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka setiap masa dan sebagainya bagi membendung ia terus menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap memberikan jaminan tidak akan melaksanakan sekatan akibat peningkatan kes tersebut sebaliknya bersedia dalam aspek pengurusan kesihatan awam.

KKM akan terus memastikan fasiliti kesihatan awam berada dalam tahap terbaik untuk menerima pesakit dan menghadapi situasi lebih buruk.

Justeru, langkah berwaspada kendiri perlu dilakukan oleh setiap masyarakat selain mereka yang mempunyai penyakit kronik supaya mengambil suntikan dos penggalak kedua sebagai langkah perlindungan.