Hari kurang memberangsangkan buat skuad berbasikal trek

Skuad berbasikal trek negara terlepas peluang beraksi di pusingan penentuan pingat selepas menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan acara pecut berpasukan lelaki. - Foto Bernama
Skuad berbasikal trek negara terlepas peluang beraksi di pusingan penentuan pingat selepas menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan acara pecut berpasukan lelaki. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD berbasikal trek lelaki negara terlepas peluang beraksi di pusingan penentuan pingat selepas menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan acara pecut berpasukan lelaki di Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini, Jumaat.

Pada acara berlangsung di Lee Valley Velopark, London, trio negara dibarisi Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom merekodkan masa 44.496 saat (s) pada sesi kelayakan membabitkan tujuh pasukan.

Hanya empat pasukan terbaik meneruskan saingan penentuan pingat.

Trio Australia terdiri daripada Leigh Hoffman, Matthew Richardson dan Matthew Glaetzer yang mengungguli sesi kelayakan dengan 42.222s bakal membuat perhitungan pingat emas dengan pelumba England dibarisi Ryan Owen, Hamish Turnbull dan Joe Truman yang mencatatkan 43.296s.

Trio New Zeland - Bradly Knipe, Sam Dakin dan Sam Webster yang merekodkan masa 43.974s pula akan berdepan barisan pelumba Kanada, Tyler Rorke, Nick Wammes dan Ryan Dodyk dengan 44.071s untuk penentuan pingat gangsa.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pasukan wanita negara terdiri daripada Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Nurul Izzah izzati Mohd Asri selepas mereka diturunkan kedudukan pada sesi kelayakan.

New Zeland yang dibarisi Rebecca Petch, Olivia King dan Ellesse Andrews mengungguli pusingan kelayakan dengan masa terpantas 47.841s diikuti Kanada dengan Sarah Orban, Kelsey Mitchell, Lauriane Genest (47.956s), sekali gus bakal membuat perhitungan pingat emas.

Pelumba Wales terdiri daripada Lowri Thomas, Rhian Edmunds dan Emma Finucane dengan 48.095s akan membuat perhitungan dengan pasukan Australia dibarisi Alessia McCaig, Kristina Clonan dan Breanna Hargrave (48.355s) untuk pingat gangsa.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara pecut berpasukan pada edisi 2010 di New Delhi menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin, yang meraih gangsa. -Bernama