'Badang' negara mampu bawa khabar gembira

Aznil menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi final kategori 61kg Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1, Birmingham pada Sabtu.
Aznil menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi final kategori 61kg Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1, Birmingham pada Sabtu.
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat percaya Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan mampu menghadiahkan berita gembira kepada kontinjen negara apabila kedua-dua mereka memulakan cabaran Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Sabtu.

Tambah Ayub, PABM sememangnya meletakkan sandaran kepada Muhammad Aznil yang beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg), Mohamad Aniq (55kg) selain Muhammad Erry (73kg) untuk membawa pulang pingat dari Birmingham.

"Sandaran utama emas adalah kepada Muhammad Aznil, dan beliau mampu melakukan berdasarkan ranking dan prestasi semasa, Insya-ALLAH.

"Mohamad Aniq juga mempunyai kemampuan untuk melakukan kejutan di Birmingham 2022 bersandarkan prestasi baik di Tashkent dan Hanoi sebelum ini.

"Sekarang sekiranya ikut ranking Mohamad Aniq berada kedua dengan perbezaan angkatan terbaik 4 kilogram berbanding atlet dari India di ranking pertama," katanya kepada Sukan Sinar.

Tambah Ayub lagi, tumpuan utama kedua-dua badang negara itu pada ketika ini adalah memperkuatkan mental dan semangat juang menjelang saingan tersebut.

"Selain itu percaturan strategi juga memainkan peranan penting dan saya yakin kemampuan pengurus pasukan Amirul Hamizan Ibrahim dalam mencatur taktikal pasukan.

"Saya juga berharap rakyat Malaysia sentiasa mendoakan supaya atlet negara dapat membawa pulang kilauan emas dari Birmingham," katanya.

Untuk rekod, PABM turut mempertaruhkan empat lagi atlet angkat berat di temasya kali ini - Elly Cascandra Engelbert (55kg), Mohamad Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109kg) dan Marceeta Marlyne (59kg)