[VIDEO] Tarif air bukan domestik di Selangor naik purata 20 sen

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuat pelarasan tarif bekalan air bagi kategori bukan domestik dan kategori khas membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 1 Ogos ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pelarasan tarif air itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu.

Menurut beliau, Air Selangor sudah meneliti keputusan pelarasan itu dan beberapa perkara juga sudah diputuskan setelah mengambil kira kos tinggi yang terpaksa ditanggung syarikat berkenaan.

Kata beliau, kadar tarif air di Selangor tidak pernah disemak sejak 16 tahun lalu, namun ada kajian mengenai pelarasan kenaikan tarif air dua tahun lalu.

"Kadar tarif ini ada dikaji, tetapi tertangguh beberapa kali, namun kadar tarif baru ini setelah dipersetujui dan perlu dilaksanakan pada Ogos ini," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Katanya, tujuan utama pelarasan itu dibuat untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan operasi syarikat air.

Justeru, katanya, kebanyakan syarikat air bukan sahaja di Selangor, malah di negeri lain menghadapi masalah dari segi kos operasi dan penyediaan perkhidmatan bekalan air.

"Misalnya di Selangor memerlukan RM30 bilion untuk dibelanjakan dengan kos penggantian paip sahaja RM150 juta setahun.

"Selain itu, sebanyak RM3 bilion diperlukan bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baru Sungai Rasau yang ketika ini sedang dilaksanakan," katanya.

Beliau memberitahu, kos itu tidak termasuk kerja-kerja lain melibatkan operasi syarikat air seperti bil elektrik yang menelan belanja RM300 juta setahun dan bahan kimia untuk perawatan air pula sebanyak RM80 hingga RM100 juta setahun.

Beliau menegaskan, Air Selangor bukanlah sengaja untuk menaikkan tarif air sebaliknya keperluan mendesak bagi meningkatkan perbelanjaan modal bagi membolehkan sistem perkhidmatannya dapat ditingkatkan.

"Kewajaran ini terpaksa dan kenaikan ini tidak melampau selain kita berusaha meningkatkan perkhidmatan air lebih berkualiti kepada penduduk," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun Air Selangor masih mengekalkan tarif bekalan air bagi kategori domestik (premis kediaman) di tiga kawasan terbabit.

"Kategori domestik tidak terkesan dan kita masih meneruskan Skim Air Darul Ehsan (Sade) kepada golongan sasar bagi menikmati air percuma 20 meter padu," katanya.