Kejayaan skuad ‘abang’ diharap beri aura positif

Skuad B-16 negara sebelum berlepas ke Yogyakarta pada Jumaat. -Foto FB FAM
Skuad B-16 negara sebelum berlepas ke Yogyakarta pada Jumaat. -Foto FB FAM
A
A
A

KEJAYAAN skuad senior negara mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selain kejayaan skuad bawah 19 tahun (B-19) memenangi Kejuaraan B-19 AF 2022 baru-baru ini diharap memberikan aura positif kepada skuad B-16 negara untuk merealisasikan sasaran muncul juara Piala AFF B-16 kali ini.

Menurut pengendali skuad B-16 negara, Osmera Omaro pencapaian kedua-dua skuad ‘abang’ itu diharapkan mampu memberikan inspirasi kepada skuad kendaliannya itu untuk melakar kejayaan pada kejuaraan kali ini.

"Semua kejayaan ini diharap memberikan inspirasi kepada pasukan saya (B-16) termasuk kepada peminat bola sepak negara bahawa pasukan kita mampu mencapai sesuatu kali ini.

"Oleh itu, setakat ini, pasukan ini berada dalam situasi sangat baik dan keyakinan mereka cukup tinggi untuk menghadapi saingan kali ini," katanya pada Jumaat.

Saingan Piala AFF B-16 kali ini bakal berlangsung di Yogyakarta, Indonesia bermula Ahad ini hingga 12 Ogos depan.

Pada kejohanan kali ini skuad B-16 negara bakal beraksi dalam Kumpulan C bersama Kemoja, Myanmar dan Laos.

Untuk rekod, skuad negara muncul juara pada edisi 2019 lalu apabila menewaskan tuan rumah, Thailand 2-1 pada aksi final di Stadium IPE Chonburi.

Skuad negara muncul juara buat kali pertama pada edisi 2013 setelah menewaskan Indoesia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Wunna Theikdi Naypyidaw, setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 setelah tamat masa sebenar perlawanan.

Sementara itu, Osmera turut berharap agar skuad kendaliannya itu berpegang kepada ‘mentaliti juara’ dalam usaha merealisasikan misi muncul juara Piala AFF B-16, kali ini.

Osmera. - Foto FB FAM
Osmera. - Foto FB FAM

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sasaran berkenaan dilihat realistik berdasarkan kepada prestasi semasa kesebelasan pemain yang dilihat berada pada tahap terbaik ketika ini.

“Pada kebiasaannya, kita akan cuba capai keputusan paling terbaik dan realistik jika pada kejohanan yang disertai.

“Oleh itu, rasanya sasaran untuk muncul juara pada edisi AFF B-16 kali dilihat realistik

"Jadi saya rasa sasaran juara pada edisi kali ini adalah realistik dan boleh dicapai," ujarnya.