Kelvin Yii ketuai sayap pemuda PH

Kelvin Yii (depan, dua dari kanan) bergambar bersama kepimpinan baharu Angkatan Muda Harapan.
Kelvin Yii (depan, dua dari kanan) bergambar bersama kepimpinan baharu Angkatan Muda Harapan.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Harapan mengumumkan kepimpinan baharu dengan Ahli Parlimen Kuching yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen dipilih sebagai ketua bagi memimpin sayap pemuda Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Angkatan Muda Harapan memaklumkan, Timbalan Speaker Amanah, Musaddeq Khalid dipilih untuk memegang peranan sebagai Setiausaha manakala jawatan Biro Penerangan pula disandang oleh Muhammad Haziq Azfar Ishak.

Seramai empat individu dilantik bagi mengisi jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda antaranya Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Mohd Hasbie Muda dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim.

Dua lagi nama mengisi jawatan sama ialah dan Ketua Wanita Muda Amanah Nurthaqaffah Nordin dan Ketua Pemuda Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Menerusi kenyataan itu, Angkatan Muda Harapan melahirkan komitmen perpaduan antara komponen sayap pemuda parti komponen Pakatan Harapan khusus bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kami juga terus bertekad membina keyakinan anak muda untuk konsisten membawa nafas politik baharu, politik mementingkan rakyat, politik yang berteraskan dasar dan solusi serta menyemarakkan politik progresif pelbagai bangsa dan faham agama,” menurut kenyataan itu.

Angkatan Muda Harapan terdiri terdiri daripada AMK, DAPSY, Pemuda Amanah Nasional, Wanita Muda Amanah Nasional (Warda), Pergerakan Pemuda UPKO dan Pergerakan Generasi Muda UPKO.

Turut dilantik menganggotai kepimpinan baharu Angkatan Muda Harapan ialah lima orang naib ketua iaitu Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan; Timbalan Ketua DAPSY, Young Syefura Othman; Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Timbalan Ketua Pemuda UPKO, Kennedy John Angian.

Pada masa sama, Angkatan Muda Harapan mengumumkan menganjurkan Jelajah Harapan Anak Muda yang akan bermula di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Ogos ini bagi membangkitkan antaranya isu kebajikan pekerja gig ekonomi dan kos sara hidup.

“Jelajah Harapan Anak Muda ini bukan sahaja sebagai medan pencerahan dan penerangan secara konvensional tetapi bagi menjalankan komitmen Angkatan Muda Harapan untuk terus bersama dengan anak muda, mengangkat aspirasi mereka melalui suara hati nurani anak muda,” kata kenyataan itu.

tamat