Selangor pertingkat penggunaan dron pantau pencemaran sungai

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian semasa sesi perbahasan di Sidang DUN Selangor, pada Jumaat.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian semasa sesi perbahasan di Sidang DUN Selangor, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meningkatkan penggunaan dron dan rondaan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mencegah kekerapan pencemaran di Sungai Chandong, Sungai Tengkorak dan Sungai Udang Telok.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan JAS melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan di sekitar kawasan tiga sungai di Klang itu.

"Langkah dan tindakan itu menyasarkan aktiviti perkilangan yang menghasilkan efluen perindustrian dan buangan terjadual.

"Berikutan kekerapan kes pencemaran dilaporkan, rondaan harian dan hujung minggu yang dilaksanakan anggota penguat kuasa JAS ditingkatkan di kawasan perindustrian terbabit," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mengenai tindakan kerajaan negeri mencegah kejadian pencemaran sungai di tiga sungai itu dan kesannya terhadap sistem ekologi serta alam sekitar semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pada Jumaat.

Loy Sian memakluman, LUAS memperkenalkan dasar Polluters Pay Principle (PPP) dan Zero Discharge Policy (ZDP) bagi mengurangkan masalah pencemaran akibat aktiviti perindustrian dan meningkatkan kualiti sumber air negeri.

Kata beliau, selain itu kerajaan negeri mula mengawal jenis industri yang dibenarkan beroperasi di Telok Gong dan ia terhad kepada industri ringan serta sederhana.

"JAS turut menjalankan kajian awal penyiasatan dan mencadangkan pelan tindakan mitigasi serta pemuliharaan sungai secara jangka masa pendek, sederhana dan panjang," katanya.