Bekas Pengarah MIDF didenda RM85,000 guna baucar palsu

Vijaya Kumar (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat untuk menghadapi pertuduhan kes menggunakan dokumen pembayaran baucar palsu.
Vijaya Kumar (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat untuk menghadapi pertuduhan kes menggunakan dokumen pembayaran baucar palsu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang bekas Pengarah Yayasan Pembangunan Intelek Malaysia (MIDF) menggunakan dokumen pembayaran baucar RM75,000 palsu bagi program Tamil Schools Post Covid-19 Assistance (Tas-Covid) mengundang padah apabila didenda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

S S Vijaya Kumar, 47, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu Baucar Pembayaran MIDF berjumlah RM75,000, bertarikh 24 November 2020 kepada sebuah syarikat bagi pembayaran pensanitasi tangan, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan dilakukan di Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), Kementerian Perpaduan Negara, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 2 Julai 2021.

Ia merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menyediakan dokumen sokongan palsu iaitu baucar bayaran MIDF dalam laporan akhir kepada Mitra bagi perbelanjaan program Tas-Covid.

Hasil siasatan mendapati syarikat yang dinamakan dalam baucar bayaran tersebut tidak membuat pembekalan pensanitasi tangan bagi program itu.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar tidak dipenjarakan dan diberikan denda dalam kadar yang minimum kerana telah menyesali perbuatan yang dilakukannya itu.

"Walaupun saya melakukan perkara ini atas arahan seseorang, tapi saya malu dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat secara umumnya.

"Saya telah beri semua butiran program mengenai program Tas-Covid kepada pihak berkuasa dan tiada transaksi kewangan masuk ke akaun bank saya," katanya.

Vijaya Kumar juga berkata, dia telah meletak jawatan daripada organisasi tersebut dan kini bekerja sebagai perunding bebas.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, A Kalaivani memohon kepada mahkamah supaya menjatuhi hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius selain mengambil kira kepentingan awam.