Kounde tidak sabar beraksi bersama Barcelona

Kounde. - Foto Getty Images
Kounde. - Foto Getty Images
A
A
A

PEMAIN baharu Barcelona, Jules Kounde tidak sabar untuk beraksi dengan skuad Blaugrana itu dan seterusnya memenangi trofi di Nou Camp.

Menurut pemain kelahiran Perancis berusia 23 tahun itu, dia mahu membalas kepercayaan yang diberikan pengendali Barca, Xavi kepadanya ketika ini.

“Pertama, saya benar-benar terharu kerana diberikan peluang beraksi dengan sebuah kelab hebat seperti Barcelona.

“Pasti saya tidak akan mempersia-siakan kepercayaan diberikan oleh kelab ini, terutama pengendali, Xavi.

“Oleh itu, saya berazam memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan dan mencuba sedaya upaya menghasilkan kejayaan,” katanya.

Barcelona berjaya membida Kounde dengan menewaskan bidaan daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Sementara itu Kounde berkata, dia sama sekali tidak akan melupakan bekas kelabnya, Sevilla yang telah banyak membantunya untuk muncul selaku antara pemain pertahanan terbaik ketika ini.

Katanya, bagaimanapun keputusan menerima tawaran Barcelona adalah untuk membantu mengembangkan kariernya dalam sukan bola sepak.

“Bagi saya, Sevilla sentiasa berada di hati dan tetap merupakan sebuah pasukan hebat.

"Namun saya bersetuju ke Barcelona membawa karier saya ke satu tahap lebih tinggi,” katanya.