Lapan maut, banjir kilat di Kentucky

Banjir kilat melanda kawasan Jackson, Kentucky akibat hujan lebat pada Khamis. - Foto AFP
Banjir kilat melanda kawasan Jackson, Kentucky akibat hujan lebat pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

JACKSON - Banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat telah mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang di timur Kentucky, Amerika Syarikat (AS), kata gabenor negeri itu, Andy Beshear pada Khamis.

Banjir itu juga menyebabkan sejumlah penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung bangunan dan pokok, ujarnya.

"Ini akan menjadi banjir terburuk," kata Beshear kepada stesen televisyen, WLEX dalam satu temu bual.

"Sekarang, saya percaya kita boleh mengesahkan sekurang-kurangnya lapan (orang maut) tetapi jumlah itu semakin meningkat," tambahnya seperti dilaporkan AFP.

Mangsa yang maut itu termasuk seorang wanita berusia 81 tahun di Perry County.

Banyak jalan yang bertukar menjadi sungai, kereta-kereta remuk dan air banjir berwarna coklat berlumpur melanda bumbung rumah yang rendah di wilayah Appalachian.

Beberapa kawasan dilaporkan menerima hujan lebih daripada 20 sentimeter dalam tempoh 24 jam.

Sungai North Fork Kentucky di Whitesburg yang pada kebiasaannya sedalam 0.3 hingga 0.6 meter pada tahun ini telah meningkat kepada 6 meter.

Gabenor itu berkata, keadaan darurat telah diisytiharkan di sejumlah daerah dan empat buah helikopter Pengawal Kebangsaan telah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja menyelamat. - Agensi