Pasukan khas bantu kanak-kanak lepasan JKM

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu pasukan khas disertai agensi kerajaan akan diwujudkan bagi menyediakan laluan khas kepada kanak-kanak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran atau akademik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil berat mengenai soal pemerkasaan kanak-kanak lepasan JKM bagi menjamin masa depan golongan itu.

"Mereka yang berusia 18 tahun lazimnya tidak lagi ditanggung oleh JKM menyebabkan ada yang tercicir," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) pada Khamis.

Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan dan penempatan serta laluan kerjaya, manakala Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menjadi penjamin bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berperanan dalam menyediakan latihan serta peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian," katanya.

Beliau berkata, kesemua bantuan itu akan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Mesyuarat pada hari ini (Khamis) juga bersetuju mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha untuk meneroka potensi wanita dalam ekonomi dan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar serta inisiatif," katanya.

Ismail Sabri berkata, GFT akan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ahli bagi mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif untuk mencapai kesaksamaan gender.

"Mesyuarat turut menzahirkan kebimbangan terhadap kes jenayah siber yang semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata, sejak 2016 sehingga 2021 dilaporkan terdapat hampir 82,000 kes penipuan siber melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM2.21 bilion.

Menyedari tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat tentang risiko penipuan dalam talian, Inisiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi Menangani Isu Penipuan Siber diwujudkan.

"Ia bagi melahirkan warga siber yang berpengetahuan dan bertanggungjawab serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah siber," katanya.