JPJ kutip RM2.04 juta bidaan nombor pendaftaran DEL

JPJ Kelantan merekodkan kutipan sebanyak RM2.04 juta bagi nombor siri pendaftaran DEL. - Foto ihsan JPJ
JPJ Kelantan merekodkan kutipan sebanyak RM2.04 juta bagi nombor siri pendaftaran DEL. - Foto ihsan JPJ
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan sebanyak RM2.04 juta bagi nombor siri pendaftaran DEL dengan DEL 7 mencatat bidaan tertinggi pada harga RM95,088.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, kutipan tersebut diperoleh dalam tempoh lima hari bermula 21 Julai lalu dan melangkaui sasaran RM2 juta yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan melalui JPJ meluaskan pelaksanaan JPJeBid ke JPJ Kelantan untuk bidaan bagi siri DEL pada 21 Julai lalu bermula jam 12 tengah malam hingga 10 malam, 25 Julai lalu.

“Siri DEL ditutup pada 25 Julai lalu dengan rekod kutipan hasil adalah sebanyak RM2.04 juta.

"Jualan tertinggi adalah bagi nombor pendaftaran DEL 7 dengan bidaan harga RM95,088,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, bidaan kedua tertinggi adalah nombor pendaftaran DEL 6 yang dijual dengan harga RM66,000 diikuti DEL 9 bernilai RM64,559.

“Nombor pendaftaran DEL 8 pula dijual dengan harga bidaan RM60,088 dan DEL 11 pada harga RM58,000.

“Sehingga kini, seramai 857, 569 pengguna berdaftar menerusi sistem JPJeBid manakala sejumlah 2,292 pembida menyertai bidaan nombor pendaftaran DEL sejak dibuka,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perlaksanaan sistem JPJeBID diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DEL jumlah kutipan hasil JPJ Kelantan adalah lebih RM37 juta.