Terima rasuah RM3,000, penghantar barang dijel 14 hari

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Padah menerima rasuah sebanyak RM3,000 sebagai upah untuk meluluskan invois cukai, seorang penghantar barang dipenjara 14 hari dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Habib Rahman Anwar Basha, 48, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding yang ditetapkan untuk sebutan pengurusan kes di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dijel bermula Khamis dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama10 bulan.

Ketika prosiding, pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima represtasi yang dihantar oleh tertuduh pada 24 Jun lalu, ekoran itu, pertuduhan dibaca semula dan dia mengaku bersalah.

Pada 31 Mei 2021, Habib Rahman yang bertugas di sebuah syarikat sebagai bekas pembantu perkhidmatan bangunan telah menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang pengarah syarikat keselamatan (pengadu) berusia 44 tahun.

Suapan itu sebagai upah untuk meluluskan invois cukai pembayaran perkhidmatan keselamatan bagi bulan Disember 2016 yang telah dikemukakan oleh syarikat pengadu di Jalan Pandan Indah di sini pada jam 10.22 malam, 29 Mei 2017.

Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mengikut fakta kes, pada tahun 2016, tertuduh meminta komisen sebanyak RM4,000 bagi setiap tuntutan pembayaran daripada pengurus di syarikat keselamatan itu.

Bagaimanapun, tuntutan bagi bulan November dan Disember 2016 serta Januari 2017, tertuduh telah meminta pengurus itu membanyar sebanyak RM4,500.

Pengadu akhirnya membuat laporan kepada SPRM dan hasil rakaman perbualan mendapati tertuduh mempunyai niat untuk mengambil rasuah.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Zailan Mohamed mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menyara empat anak dan seorang isteri yang sakit.

Katanya, tertuduh turut menjaga bapa yang menghidap penyakit jantung.

“Jika dia dikenakan hukuman penjara dalam tempoh yang panjang, ia akan menjejaskan pendapatannya untuk menyara keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa berkata, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius.

“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dengan mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh sekali gus menjadi peringatan kepada orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.

“Kami mohon mahkamah mengambil kira jenayah yang dilakukan adalah dirancang yang dilihat menerusi siri perbualan tertuduh dengan pengadu sebelum ini,” katanya.