PRU15: Hasni sedia bertanding kerusi Parlimen

Hasni - Foto Bernama
Hasni - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad menyatakan kesediaan untuk bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Johor itu bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk meletakkan dirinya bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada PRU15.

Beliau turut mendedahkan pucuk pimpinan parti sudah menyatakan persetujuan membenarkan dirinya bertanding di kerusi Parlimen.

"Ya, saya akan bertanding pada PRU15 namun kerusi Parlimen yang bakal saya tandingi belum ditentukan lagi, perlu bincang agihan (kerusi) dahulu di peringkat nasional antara parti-parti kompenan. Selepas itu baharu tengok kerusi Parlimen mana untuk saya bertanding.

"Kalau diberi pilihan tentunya saya hendak bertanding di kawasan sendiri," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum itu, beberapa portal berita melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut ini akan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Pontian, Simpang Renggam dan Tanjung Piai.

Hasni pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian pada PRU11, sebelum Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memegang kerusi Parlimen itu selama tiga penggal sejak 2008.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian merupakan ADUN Benut sejak 2008 sehingga kini dan pernah dilantik menjadi Menteri Besar Johor pada 28 Febuari 2020.

Pada 11 Julai lalu, UMNO Johor dilaporkan merancang untuk bertanding di kerusi Parlimen milik Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Simpang Renggam pada PRU15 akan datang.

Sementara Parlimen Tanjung Piai pula merupakan kerusi tradisi MCA, yang telah dimenangi selama tiga penggal oleh Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut mengulas mengenai jentera parti yang sudah digerakkan bagi berdepan PRU15 pada bila-bila masa.

"Pada peringkat ini, badan-badan perhubungan negeri telah pun diarahkan untuk menggerakkan jentera di setiap peringkat cawangan dan bahagian.

"Mengenai agihan kerusi Parlimen pada PRU15 di Johor, ia masih belum dimuktamadkan. Perkara itu perlu dibincangkan di peringkat nasional bersama parti komponen terlebih dahulu," ujarnya.