Pencerobohan seperti di Tanduo boleh berulang: Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pencerobohan luar seperti yang dilakukan pengganas Sulu dalam insiden di Tanduo, Lahad Datu, mungkin boleh berulang, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar bagaimanapun yakin kemampuan pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan sempadan dan kedaulatan Sabah.

Katanya, pasukan keselamatan negara kini lebih bersedia menghadapi sebarang ancaman yang berlaku.

"Pencerobohan berulang tidak mustahil tapi saya yakin penguat kuasa, tentera dan lain-lain agensi sudah bersedia mempertahankan setiap inci sempadan Sabah.

"Ini saya yakin kerana selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah, saya sendiri selalu berhubung dengan agensi yang berkaitan seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengenai pemantauan keselamatan di negeri ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu keselamatan di negeri ini dan tuntutan waris kesultanan Sulu yang perlu diselesaikan kerajaan.

Katanya, isu itu harus diselesaikan sepenuhnya termasuk menerusi pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G2G) membabitkan kerajaan Malaysia dan Filipina.

"Walaupun usaha itu sukar berikutan pendirian Filipina yang tidak mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia, langkah permulaan perlu diambil," katanya.

Beliau turut berkata, isu itu berlarutan sejak sekian lama dan ia perlu diselaraskan antara kerajaan Malaysia dan Filipina bagi mencari penyelesaian muktamad demi kebaikan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

"Mungkin isu ini perlu diselaras antara kerajaan dengan kerajaan tetapi hingga kini Filipina tidak pernah mengiktiraf Sabah berada dalam Malaysia. Apabila pilihan raya di negara itu, isu Sabah masih menjadi bahan utama kempen atau perbincangan mereka.

"Jadi, ini memang isu yang sukar tetapi perlu ada usaha untuk menyelesaikannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pendirian Filipina yang menganggap Sabah sebahagian daripada wilayahnya bertentangan dengan pendirian rakyat Sabah yang memilih Malaysia ketika Suruhanjaya Cobbold menjalankan referendum di Sabah sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.

"Filipina tidak membuka pejabat kedutaan mereka di Sabah sebab bagi mereka Sabah ini sebahagian daripadanya. Tapi Suruhanjaya Cobbold mengesahkan bahawa rakyat Sabah memilih untuk sama-sama membentuk Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak, malah kerajaan juga sudah menegaskan tidak akan mengeluarkan walau seinci pun Sabah daripada bumi Malaysia.