Pelajar MBA UKM-GSB kumpul dana bantu pelajar OKU B40

Siti Hajar (dua dari kiri) menyerahkan pengiktirafan MBR kepada Wei Sieng
Siti Hajar (dua dari kiri) menyerahkan pengiktirafan MBR kepada Wei Sieng
A
A
A

BANGI - Seramai 12 pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) berjaya mengumpul dana sebanyak RM23,000 menerusi Kempen Mengumpul Dana RM1 Seumur Hidup.

Kumpulan pelajar dikenali sebagai Masterminds itu juga berjaya menyediakan 10 komputer riba melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pelajar kurang upaya (OKU) dari kalangan keluarga B40 di universiti berkenaan.

Lebih menarik, projek ini turut menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBR) sebagai 'largest donor participants in a fundraising education campaign' kerana berjaya mengumpul penderma seramai 2,763 orang termasuk 500 dari luar negara dalam tempoh sebulan bermula 11 Jun 2022 hingga 10 Julai 2022 dengan jumlah kutipan RM23,000.

UKM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil dari kutipan dana tersebut, seorang pelajar, Nurul Anisah Mohd Tajudin menerima biasiswa Masterminds manakala 10 pelajar menerima komputer riba bagi membantu mereka mengikuti pembelajaran harian.

"Pelajar terbabit menerima Biasiswa Masterminds bagi melanjutkan pengajian di UKM dengan menggunakan biasiswa tersebut manakala 10 lagi pelajar menerima komputer riba," kata kenyataan itu pada Khamis

Nurul Anisah (kiri) dipilih bagi menerima biasiswa Masterminds.
Nurul Anisah (kiri) dipilih bagi menerima biasiswa Masterminds.

Majlis penutup program itu pada Rabu dihadiri Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Dr Lai Wei Sieng, Perunding Rekod Kanan MBOR, Siti Hajar Johor dan Setiausaha Persatuan Sains, Kejuruteraan & Teknologi Malaysia, Khairul Izzat Mustafa.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam, UKM bukan sahaja menyediakan pendidikan berkualiti tetapi komited dan berperanan aktif untuk menyokong negara dalam memenuhi matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Sustainability Development Goals).

UKM bertanggungjawab bagi membantu para pelajar daripada golongan B40 melanjutkan pelajaran ke menara gading dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendidikan berkualiti.

Tambah kenyataan itu, program CSR tersebut adalah salah satu program yang disyaratkan oleh UKM-GSB kepada semua pelajar MBA untuk graduasi agar dapat memberikan impak.