MOTAC mahu KDN pertimbang pemberian visa berganda

Nancy Shukri - Foto Bernama
Nancy Shukri - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan pemberian visa kemasukan berganda kepada pelancong asing bagi melonjakkan sektor pelancongan negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perbincangan antara kedua-dua kementerian itu telah dijalankan memandangkan kelulusan visa tersebut terletak di bawah bidang kuasa KDN.

"Diharap akan jadi satu dasar sementara (pemberian visa berganda) Malaysia kerana kita memerlukan pelancong untuk datang dan mahu mereka untuk terus kembali ke Malaysia selain memudahkan kemasukan pelancong ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat The ASEAN Sub-Committee on Culture (SCC) ke-23 dan Mesyuarat ASEAN Plus Three Cultural Coorperation ke-11 di sini pada Khamis.

Nancy berkata, setakat ini jumlah kedatangan pelancong telah melebihi sasaran 4.5 juta dan angka itu dijangka meningkat melebihi lapan juta menjelang penghujung tahun ini yang ditambah dengan pembukaan semula sempadan Brunei-Malaysia mulai 1 Ogos ini.

"Peningkatan jumlah pelancong ke Malaysia sudah nampak, paling ramai adalah dari Singapura diikuti Thailand, Filipina dan India,” katanya.

Mesyuarat SCC merupakan mesyuarat tahunan bagi membincangkan projek kebudayaan, seni dan warisan yang dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN di bawah pembiayaan Dana Kebudayaan ASEAN.

Mesyuarat kali ini turut menyokong dua projek yang dicadangkan oleh Malaysia yang terdiri daripada ASEAN Workshop on Sustainable Heritage Food Packaging and Commercialisation For The World Market dan The Echoes of ASEAN Bronze dengan peruntukan sebanyak AS$100,000. - Bernama