'Syukur kini kami dapat solat dengan lebih selesa'

Surau Al Muhajirin selepas dinaik taraf hasil sumbangan orang ramai. Gambar kecill: Mohamad Nawi
Surau Al Muhajirin selepas dinaik taraf hasil sumbangan orang ramai. Gambar kecill: Mohamad Nawi
A
A
A

MARANG - Penduduk di sekitar Kampung Gong Tepas di sini kini lega dan gembira apabila dapat menunaikan solat dan ibadah-ibadah lain dengan lebih selesa selepas Surau Al Muhajirin yang dinaik taraf siap sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai.

Pengerusi Surau Al Muhajirin, Mohamad Nawi Mustaffa berkata, surau asal berusia tujuh tahun dengan binaan kayu itu mula dinaik taraf pada Oktober lalu dan siap tujuh bulan kemudian melibatkan kos kira-kira RM450,000.

“Syukur alhamdulillah, ramai yang bermurah hati memberi sumbangan sama ada dari segi tunai mahupun bahan binaan seperti batu, pasir dan kayu hingga surau ini mampu disiapkan dalam tempoh singkat, tukang juga ambil upah murah.

“Kami pihak pengurusan surau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kerana sumbangan itu membolehkan kami menunaikan ibadah dan aktiviti keagamaan lain dengan lebih selesa,” katanya di sini pada Khamis.

Menurut Mohamad Nawi, dengan keluasan kira-kira 3,000 kaki persegi, seramai 300 jemaah dapat menunaikan solat pada satu masa di surau berkenaan berbanding sebelum ini yang hanya mampu memuatkan sekitar 100 orang.

Beliau berkata, sudah tiba masanya surau lama tanpa kemudahan fasiliti itu dinaik taraf supaya lebih besar, luas dan selesa berikutan pertambahan penduduk di sekitar termasuk pembukaan sebuah taman di sana.

“Sekarang jemaah dapat solat dengan selesa berbanding sebelum ini agak sesak kerana ruang yang agak sempit,” katanya.

Ruang solat Surau Al Muhajirin yang lebih luas dan selesa selepas dinaik taraf.
Ruang solat Surau Al Muhajirin yang lebih luas dan selesa selepas dinaik taraf.

Katanya, surau itu mula digunakan secara rasmi ketika solat sunat Aidilfitri baru-baru ini dan ia memudahkan penduduk kerana tidak perlu ke masjid berhampiran yang terletak antara tiga hingga empat kilometer.

“Saya harap, usaha menaik taraf surau ini agar lebih luas dan selesa dapat menyuburkannya dengan pelbagai aktiviti keagamaan bagi memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

“Antara aktiviti yang sudah kita buat di sini adalah kuliah Maghrib, Isyak dan kelas mengaji. Selain itu kami juga berhasrat untuk menjadikan surau ini sebagai sebuah masjid supaya penduduk tidak perlu ke masjid lain yang lebih jauh,” katanya.

Jelas Mohamad Nawi, pihaknya kini sedang merancang untuk menyediakan fasiliti lain dan kemudahan tempat letak kereta serta pagar bagi menghalang haiwan seperti lembu, kerbau dan anjing masuk mengotorkan kawasan surau.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke dalam akaun Bank Rakyat bernombor 1101755620 atas nama Surau Al Muhajirin Kampung Gong Tepas, Marang.