LUAS tangani pencemaran Sungai Langat akibat kemalangan

LUAS mengesan dan menangani potensi berlaku pencemaran di Sungai Langat susulan kejadian kemalangan jalan raya pada Khamis.
LUAS mengesan dan menangani potensi berlaku pencemaran di Sungai Langat susulan kejadian kemalangan jalan raya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan dan menangani potensi berlaku pencemaran di Sungai Langat susulan kejadian kemalangan jalan raya pada Khamis.

Agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kemalangan kira-kira jam 3.30 pagi itu membabitkan sebuah lori dan kereta di Kilometer 294.9 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Menurut LUAS, siasatan mendapati terdapat aliran minyak keluar daripada lori terlibat dalam kemalangan malah lapisan minyak dikesan terdapat di atas permukaan jalan raya.

"LUAS kemudiannya menyelaraskan tindakan bersama pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan meletakkan serbuk kayu di lokasi berkenaan.

"Ini sebagai inisiatif pencegahan untuk mengekang insiden daripada bertambah teruk memandangkan lokasi itu berhampiran dengan Sungai Langat dengan anggaran jarak sejauh 30 meter," kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan sama, siasatan lanjut di saluran berhampiran kawasan kemalangan turut mendapati tiada sebarang aliran minyak masuk ke sumber air berhampiran.

Katanya, bagaimanapun pemantauan rapi dari semasa ke semasa diteruskan bagi memastikan insiden tersebut tidak menjejaskan operasi LRA dan gangguan bekalan air kepada pengguna.

"LUAS terus komited dalam melaksanakan pemantauan 24 jam di lembangan sungai dalam memastikan kelangsungan sumber air di negeri Selangor," tambah kenyataan itu.