Polis tahan lelaki, rampas ganja dalam kereta

Wan Azharuddin menunjukkan dadah disyaki ganja yang dirampas daripada seorang lelaki pada Selasa lalu.
Wan Azharuddin menunjukkan dadah disyaki ganja yang dirampas daripada seorang lelaki pada Selasa lalu.
A
A
A

TAPAH - Polis menahan seorang lelaki selepas didapati membawa dadah disyaki ganja menggunakan sebuah kereta di KM311.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki berusia 44 tahun itu yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan Polis Peronda Lebuhraya kira-kira jam 3 petang selepas dikesan memandu secara berbahaya.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Honda Accord berwarna putih itu menemukan bungkusan berwarna hitam yang di dalamnya mengandungi empat ketulan mampat berbalut plastik lut sinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki ganja.

"Suspek berasal dari Bagan Serai itu dikenal pasti sebagai penghantar dadah dan disyaki dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lembah Klang bagi menghantar dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, lelaki itu direman hingga 2 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti ahli sindiket terlibat dan sumber dadah diperoleh.

"Hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan pengedaran dadah selain dua rekod berkaitan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita kereta Honda Accord berkenaan untuk siasatan lanjut. manakala dadah seberat kira-kira empat kilogram itu dianggar bernilai RM10,000 dan boleh digunakan seramai 2,684 penagih. - Bernama