Sabak Bernam pengeluar benih betik pertama di Selangor

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Sabak Bernam dikenal pasti menjadi kawasan pengeluaran benih betik Selangor Tropikal Papaya (STP) pertama di negeri Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, penanaman betik itu bertujuan bagi penghasilan benih betik di negeri ini.

"Penggunaan benih betik Selangor ini dilancarkan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman pada 2 Jun lalu," katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin mengenai inisiatif dan insentif yang dilaksanakan kerajaan Selangor untuk pemodenan pertanian semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Selain itu, Izham berkata, kerajaan negeri telah meluluskan projek penanaman benih baka kelapa mataq untuk memenuhi permintaan tinggi di kawasan seluas 20 hektar di Sungai Air Tawar.

Jelas beliau, antara inisiatif dan insentif yang turut dilaksanakan kerajaan negeri bagi tujuan pemodenan pertanian merangkumi tanaman padi, kebun kelapa dan tanaman sayuran.

"Kita menyediakan insentif berbentuk pemberian peralatan dan input-input pertanian seperti baja dan kawalan haiwan perosak.

"Bagi pengusaha kelapa pula, peruntukan khususnya penanaman semula telah disediakan bagi membantu pengusaha menanam semula kelapa yang lebih berkualiti dan mempunyai hasil tinggi," ujar beliau.

Tambahnya, inisiatif yang telah dan sedang diambil pula adalah dengan mengenalpasti tahap kesuburan tanah melalui kaedah ujian tanah (soil test).

Beliau memberitahu, kaedah tersebut amat penting kerana ia akan melibatkan penggunaan baja yang bersesuaian dengan profil tersebut.

Katanya, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM136,725 bagi program dan projek pertanian seluruh negeri Selangor dari tahun 2018 hingga 2022.

"Peruntukan yang melibatkan Pemodenan Pertanian Anjung Utara pula sebanyak RM52,550,979 merangkumi projek-projek pertanian moden dan insentif berbentuk peralatan dan input-input pertanian," ujar beliau.