Pasaran hartanah dijangka pulih pada separuh kedua 2022

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

SEKTOR hartanah dijangka kembali pulih pada separuh kedua 2022, disokong oleh pemulihan ekonomi domestik, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk merancakkan pasaran hartanah.

Pengasas dan usahawan hartanah Pro Men Sdn Bhd, Michelle Chao Xiang Mei berkata, kadar penularan Covid-19 yang terkawal di negara ini turut membantu melonjakkan sentimen positif dalam sektor itu.

"Kita dapat melihat bahawa kerajaan telah mengeluarkan beberapa dasar untuk meningkatkan pasaran hartanah seperti penepian ke atas Cukai Keuntungan Harta Tanah dan pengecualian duti setem Memorandum Pemindahan (MoT) untuk pembeli rumah kali pertama,” katanya.

Beliau menambah, pembeli akan dapat menikmati 100 peratus pengecualian duti setem MoT apabila mereka membeli hartanah berharga di bawah RM500,000, manakala pembeli hartanah berharga antara RM500,001 hingga RM1 juta layak mendapat diskaun 50 peratus ke atas duti setem.

"Kami berpendapat ini akan membantu kawasan bandar seperti Kuala Lumpur untuk pulih, tetapi mungkin pemulihan yang lebih perlahan untuk kawasan pinggir bandar kerana ia juga bergantung kepada pendapatan isi rumah," katanya dalam program The Brief di Bernama TV yang disiarkan pada Rabu.

Michelle Chao berkata, mereka yang merancang untuk membeli hartanah mesti menjalankan penyelidikan yang betul dan teliti sebelum membuat sebarang komitmen, kerana pembelian besar ini sangat bergantung pada kestabilan pekerjaan dan pendapatan peribadi seseorang.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk pembeli memanfaatkan peluang dalam pasaran hartanah, terutamanya jika hartanah itu berada di lokasi yang baik dan ditawarkan pada harga di bawah pasaran.

Sementara itu, mengenai langkah Bank Negara Malaysia untuk menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus, Michelle Chao berkata, walaupun ia akan menyebabkan kos pinjaman dan ansuran bulanan yang lebih tinggi untuk peminjam, ia mungkin tidak menjejaskan sangat pembeli hartanah berharga di bawah RM500,000.

Peminjam mungkin perlu membayar tambahan sebanyak RM150-RM200 sebulan, yang pada pendapatnya masih boleh diterima.

Beliau menambah walaupun kos barangan mentah dan bahan binaan lebih tinggi, pemaju menawarkan produk berpakej yang lebih baik kepada pembeli hartanah dengan kemungkinan menyerap beberapa kos selain menambah lebih banyak ciri nilai tambah dengan arga yang berpatutan untuk pelancaran baharu termasuk projek perumahan kerajaan.

"Bagaimanapun, bagi hartanah yang berharga melebihi ambang RM1 juta, peminjam akan terjejas dan justeru permintaan dalam segmen tertentu ini boleh menjadi perlahan pada separuh kedua 2022.

"Sehubungan itu, kami berharap kerajaan dapat melaksanakan semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk membenarkan lebih ramai warga asing masuk ke negara ini dan membantu menyerap harga hartanah yang lebih tinggi ini,” tambah Michelle Chao. - Bernama