Rakyat perlu sokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok: Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham. - Foto: Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai memberi sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan di Parlimen.

Menerusi ciapannya di Twitter pada Khamis, Dr Noor Hisham berkata, kuasa pelaksanaan RUU ada pada rakyat.

"Berilah sokongan penuh kepada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan akta untuk mengharamkan rokok, rokok elektronik (vape) dan semua alat merokok kepada generasi yang lahir selepas 2007.

"Marilah kita bersama mewujudkan generasi yang bebas daripada sebarang amalan merokok termasuk rokok dan vape," ciapnya.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Di bawah RUU berkenaan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000.