Dua jurulatih gimrama negara disekat ke Birmingham

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu memberi kata-kata semangat kepada para atlet yang akan menyertai Sukan Komanwel Birmingham di Perkampungan Sukan di Universiti of Warwick. - Foto Bernama.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu memberi kata-kata semangat kepada para atlet yang akan menyertai Sukan Komanwel Birmingham di Perkampungan Sukan di Universiti of Warwick. - Foto Bernama.
A
A
A

STATUS kelulusan visa dua jurulatih gimrama negara yang merupakan warganegara Rusia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, di sini, kini menjadi tanda tanya.

Tanpa menyebut nama jurulatih terlibat, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedua-dua mereka bakal terkena tempias susulan sekatan kemasukan dilaksanakan kerajaan United Kingdom (UK) ke atas warga Rusia.

"Pihak pengurusan kontinjen Malaysia telah memenuhi semua proses pendaftaran sebagaimana ketetapan penganjur malah telah mengemukakan surat rayuan kepada presiden CGF (Persekutuan Sukan Komanwel) bagi membantu mempercepatkan kelulusan visa tersebut.

"Namun, maklum balas yang diterima daripada pihak CGF berhubung status visa bagi kedua-dua jurulatih gimrama negara memaklumkan bahawa mereka juga masih menunggu keputusan UK Visas and Immigration,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Ahmad Faizal berkata demikian usai sesi perjumpaan bersama kem ragbi tujuh sebelah, judo dan triatlon negara di perkampungan sukan di University of Warwick, kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat bandar, di sini.

Katanya, menurut makluman daripada pihak CGF, sekatan itu juga melibatkan semua warga Rusia yang mewakili negara lain pada temasya empat tahun sekali itu.

Justeru, beliau berkata, sekiranya rayuan berkenaan tidak berjaya, maka Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia Afrita Ariany Nasril serta jurulatih tempatan Lim Win Chean akan diterbangkan ke Birmingham, esok untuk menguruskan pasukan gimrama negara sepanjang temasya berlangsung.

Ahmad Faizal memaklumkan kontinjen negara dianggotai Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan turut dijadual berlepas esok dari Minsk, Belarus, setelah menjalani latihan intensif di sana.

Skuad gimrama kebangsaan akan mula beraksi pada 4 Ogos di Arena Birmingham.

Dalam pada itu, beliau yakin cuaca dingin di sini tidak akan menjejaskan persembahan 104 atlet yang berjuang membawa cabaran negara dalam temasya yang dibuka secara rasmi bermula 7 malam ini (2 pagi Jumaat waktu Malaysia).

Sementara itu, Ahmad Faizal yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Komanwel ke-10 di sini, semalam memberitahu Malaysia telah menyatakan inisiatif yang diambil kerajaan seiring dengan hasrat Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Tambahnya, antara inisiatif dibawa ke mesyuarat tersebut adalah pelancaran Pelan Tindakan Wanita dalam Sukan dengan peruntukan berjumlah RM10 juta, penganjuran Liga Esports Para serta penyediaan Visi Sukan Negara 2030 bagi memacu pembangunan sukan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang. - Bernama