Ekspresi benci rasuah melalui lukisan

Dari kiri, Doreen, Gracelyn, Norazlan, Ahmad Khusairi, Abu Zahar, Si Ying dan Lim Siew Lan bergambar pada majlis penyerahan buku Laporan Tahunan SPRM 2021 kepada panel LPPR di Putrajaya
pada Selasa.
Dari kiri, Doreen, Gracelyn, Norazlan, Ahmad Khusairi, Abu Zahar, Si Ying dan Lim Siew Lan bergambar pada majlis penyerahan buku Laporan Tahunan SPRM 2021 kepada panel LPPR di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak tujuh lukisan pelajar sekolah menengah dipilih menghiasi muka hadapan Buku Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021 yang diserahkan secara rasmi kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) sebagai tanda pengiktirafan hasil seni tersebut.

Kesemua lukisan itu dihasilkan melalui pertandingan melukis poster yang diadakan melalui e-Program Wira Anti Rasuah (WAR) Sekolah Menengah SPRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2020.

Pemilihan semua poster bertujuan untuk menyampaikan mesej bahawa setiap lukisan adalah ekspresi kebencian pelajar terhadap sebarang bentuk perbuatan rasuah.

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hua Lian, Taiping Perak, Ng Si Ying berkata, ilham menghasilkan lukisan tersebut menerusi pembacaan di laman web, selain merujuk kepada portal SPRM.

“Lukisan saya menggunakan tangan sebagai simbolik menolak rasuah dan logo SPRM sebagai satu agensi penguat kuasa membanteras rasuah di negara ini serta ingin menyampaikan mesej kepada pemimpin bahawa kami mahukan sebuah negara bebas rasuah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan buku Laporan Tahunan SPRM 2021 kepada panel LPPR, di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya menyerahkan buku Laporan Tahunan SPRM 2021 kepada Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Ahmad Khusairi dalam ucapannya berkata, buku itu mengandungi laporan komprehensif aktiviti SPRM sepanjang tahun 2021 berkaitan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan dalam usaha SPRM memerangi jenayah rasuah.

Seorang lagi pelajar Tingkatan Empat, Gracelyn Loh Yee Thing dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Perempuan China, Pulau Pinang pula berkata, dia mengambil masa selama dua minggu untuk menghasilkan lukisannya.

Ibu pelajar itu, Doreen Tan Ping Ping ketika ditemui menyambut baik pertandingan seumpama itu diadakan sebagai salah satu cara untuk mendidik generasi muda khususnya para pelajar sekolah mengenai rasuah.

Buku Laporan Tahunan SPRM 2021 boleh didapati di portal SPRM dengan melayari laman web www.sprm.gov.my.