AUG 2022: Peluang Malaysia sambar dua emas badminton

Ng Jun Yan antara yang akan beraksi pada perlawanan akhir acara berpasukan lelaki AUG 2022, pada Khamis.
Ng Jun Yan antara yang akan beraksi pada perlawanan akhir acara berpasukan lelaki AUG 2022, pada Khamis.
A
A
A

KEM badminton negara berpeluang meraih dua pingat emas acara berpasukan lelaki dan wanita apabila mengesahkan slot perlawanan akhir Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat, pada Khamis.

Anak-anak buah Datuk Rashid Sidek mengesahkan slot masing-masing apabila skuad lelaki menewaskan Singapura 5-0, untuk mengakhiri saingan liga sepusingan di kedudukan kedua.

Skuad wanita pula mara setelah menamatkan liga sepusingan di kedudukan teratas apabila menjinakkan Singapura 5-0.

Kejayaan pasukan lelaki dan wanita itu menyaksikan Indonesia menanti kedua-dua kem badminton negara itu di pentas final.

Rashid yang gembira pencapaian mengulangi kemaraan ke perlawanan akhir edisi Myanmar 2018 sebelum ini berharap aksi itu dapat dinoktahkan dengan pingat emas.

“Biarpun begitu, saya percaya perlawanan menentang Indonesia ini bukan merupakan sesuatu yang mudah kerana peluang untuk dapatkan emas itu 50-50.

"Apa-apapun kedua-dua pasukan ini akan memberi aksi yang terbaik supaya dapat memastikan dua emas berada dalam genggaman Malaysia," katanya.

Edisi Myanmar 2018 sebelum ini, kedua-dua pasukan mara ke perlawanan akhir yang menyaksikan pasukan wanita meraih emas manakala lelaki membawa pulang perak.