PICOM kini dikenali UCMI

Idris (dua dari kanan) menyempurnakan gimik penjenamaan semula UCMI di Dewan Utama, Kampus Bandar UCMI, Bangunan Bank Rakyat Jalan Tangsi, di sini pada Rabu.
Idris (dua dari kanan) menyempurnakan gimik penjenamaan semula UCMI di Dewan Utama, Kampus Bandar UCMI, Bangunan Bank Rakyat Jalan Tangsi, di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) kini dikenali Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, penjenamaan semula itu merupakan salah satu usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menaik taraf institusi pendidikan milik institusi tersebut.

Beliau berkata, ia selaras dengan Pelan Strategik MAIWP 2022-2025 bagi meningkatkan kualiti serta penanda aras pendidikan setanding dengan institusi pengajian tinggi lain.

"Saya percaya UCMI akan menjadi pilihan untuk menyambung pengajian kerana kekuatan kualiti pendidikan dalam setiap program yang ditawarkan selain gabungan pendidikan rohaniah yang diterapkan oleh pensyarah.

“Adalah menjadi hasrat kita semua dan MAIWP agar setiap keluarga mendapat satu ijazah terutama di kalangan asnaf, moga ia menjadi asbab kepada penaiktarafan kehidupan berkeluarga.

"Kita semua yakin dan percaya jalan pendidikan boleh mengubah nasib keluarga kita," katanya pada Majlis Penjenamaan UCMI di Dewan Utama, Kampus Bandar UCMI, Bangunan Bank Rakyat Jalan Tangsi, di sini pada Rabu.

Tambahnya, MAIWP berhasrat untuk menjadikan UCMI sebagai perintis universiti wakaf yang pertama di Malaysia.

Selain itu katanya, UCMI juga bakal dinaik taraf sebagai universiti penuh di bawah MAIWP

"MAIWP sentiasa kehadapan dalam memastikan anak-anak asnaf dapat menyambung pelajaran sehingga ke menara gading.

"Tentunya UCMI menjadi salah satu pilihan kepada anak-anak asnaf untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UCMI, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata, UCMI optimis untuk terus melahirkan graduan holistik yang bertaraf global dan kompetitif.

Katanya, program pengantarabangsaan telah berjaya membawa graduan bidang kejururawatan dan sains kesihatan menempatkan diri bekerja di negara Jerman dan Jepun.

Beliau berharap UCMI menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi yang tersohor bukan hanya di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Usaha berterusan pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah UCMI sedang dirancang termasuk menaik taraf kemudahan-kemudahan pendidikan dan infrastruktur seperti kampus setempat UCMI di Bangunan Bank Rakyat Jalan Tangsi dijangka boleh menampung seramai 3,000 mahasiswa.

“Selaras dengan penjenamaan ini, kampus baharu telah dibuka di tengah bandar raya Kuala Lumpur bagi menampung bilangan pelajar yang kian meningkat," katanya.