Kerajaan peruntuk RM40 juta bagi Program Bandar Selamat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan RM40 juta dalam tempoh empat tahun bermula tahun ini bagi Program Bandar Selamat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Hassan Yaakob berkata, peruntukan berkenaan telah diagihkan kepada 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Katanya, PLANMalaysia akan membuat penyelarasan dengan melakukan penilaian sama ada projek yang dicadangkan oleh PBT sesuai untuk membuat Program Bandar Selamat selaras dengan garis panduan yang ditetapkan pihak jabatan.

"Peruntukan ini diagihkan ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Agihan berkenaan membabitkan RM400,000 hingga RM500,000 berdasarkan permohonan projek dan keperluan setiap PBT.

"Sebagai contoh, ada PBT yang memohon untuk membina laluan pejalan kaki bagi mengelakkan berlaku kemalangan atau jenayah di kawasan yang kerap berlaku jenayah. Kebiasaannya data berkenaan dibekalkan oleh polis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembersihan dan pengindahan Pantai Kundor di sini pada Rabu.

Hassan berkata, bagi Kelantan, PBT yang terlibat adalah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dengan RM400,000 diperuntukkan bagi Program Bandar Selamat di negeri itu untuk pembinaan laluan pejalan kaki.

"Peruntukan ini membabitkan kawasan perumahan Flat Buluh Kubu di sini bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan berkualiti kepada masyarakat setempat.

"Kesemua peruntukan yang diberikan kepada setiap PBT hendaklah digunakan dalam tempoh tahun yang sama, selain pihak kami juga melakukan pemantauan pelaksanaan projek dari semasa ke semasa," katanya. - Bernama