Pemandu lori rentung dalam kemalangan

Keadaan di lokasi kemalangan di Kampung Sungai Sabai, Kalumpang, Hulu Bernam, pada Rabu.
Keadaan di lokasi kemalangan di Kampung Sungai Sabai, Kalumpang, Hulu Bernam, pada Rabu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang pemandu lori rentung dalam kemalangan di jalan Kampung Sungai Sabai, Kalumpang, Hulu Bernam di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, lelaki berusia 45 tahun itu memandu sebuah lori jenis Hino menghantar muatan batu kerikil dari Serendah ke tapak pelupusan sampah di Sungai Sabai.

"Lori dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terbalik serta terjatuh ke dalam ladang kelapa sawit.

"Kemalangan itu menyebabkan diesel tertumpah di atas mangsa dan terbakar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Arsad berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.