TNB Johor sahkan insiden percikan api di PMU Yong Peng

Tangkap layar video tular kejadian percikan api di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng pada tengah hari, Rabu.
Tangkap layar video tular kejadian percikan api di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng pada tengah hari, Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor mengesahkan berlaku percikan api atau 'flashover' di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng pada tengah hari, Rabu.

Pengurus Besar TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan berlaku gangguan elektrik kepada pengguna di negeri ini.

"Ya berlaku percikan apo di PMU Yong Peng tengah hari tadi, namun tiada pengguna di negeri ini yang terbabit dengan gangguan bekalan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum itu tular video berdurasi 25 saat yang mendakwa berlaku percikan api di PMU Yong Peng.

Menurut Mohamed Noh, TNB Johor telah membuka bilik gerakan sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan elektrik sekiranya berlaku.

"Saya dimaklumkan sememangnya tiada gangguan secara besar-besaran yang akan terjadi di Johor buat masa ini.

"Jadi saya nasihatkan kepada semua pengguna supaya tidak panik dan seperti saya katakan kita telah mengaktifkan bilik gerakan seawal jam 1.22 petang lagi.

"Kita tunggu kenyataan daripada pihak ibu pejabat berkaitan perkara ini dan maklumat terbaharu nanti," katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.