'Ramai panik namun kami perlu tenangkan diri'

Pengunjung di ruang legar Sunway Piramid ketika gangguan elektrik berlaku. - Foto tular
Pengunjung di ruang legar Sunway Piramid ketika gangguan elektrik berlaku. - Foto tular
A
A
A

PETALING JAYA - "Ini kali pertama gangguan elektrik berlaku hampir sejam, ramai yang panik namun kami perlu tenangkan diri kerana ada barang berharga perlu dijaga," kata Mohd Fauzi Ahmad.

Mohd Fauzi merupakan penyelia di sebuah pusat mencuci kereta di Sunway Piramid sedang bekerja ketika pusat membeli belah itu mengalami gangguan bekalan elektrik secara mengejut.

Mohd Fauzi berkata, gangguan bekalan elektrik bermula sekitar jam 12.40 tengah hari hanya berakhir kira-kira jam 1.30 tengah hari dan keadaan kembali normal selepas itu.

"Saya sudah bekerja di sini lebih kurang lima tahun dan tidak pernah berlaku gangguan elektrik yang lama seperti ini, kalau terputus bekalan pun tidak sampai lima minit bekalan ada semula," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja di pusat membeli belah berkenaan, Aman Sani Budlawi, 24, turut berkongsi pengalamannya.

Ketika kejadian, dia hanya mendiamkan diri sehingga bekalan elektrik kecemasan dihidupkan secara automatik.

"Tak boleh buat apa sebab keadaan gelap, tunggu sehingga bekalan elektrik kecemasan menyala. Ketika itu saya mendapatkan kawan-kawan dan berkumpul di satu tempat," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi pekerja, Amiruzlien Muhammarin, 24, berkata, keadaan agak panik kerana dia baru sahaja bekerja di pusat membeli belah tersebut dan ia merupakan pengalaman pertamanya.

"Saya tidak tahu hendak buat apa selain duduk berdekatan kawan-kawan yang lain dan kami juga ditenangkan boleh penyelia agar tidak keluar dari bangunan ini sehingga keadaan pulih," ujarnya.

Difahamkan gangguan ini tidak hanya berlaku di pusat membeli-belah berkenaan tetapi turut dilaporkan berlaku di beberapa hospital dan klinik sekitar Lembah Klang bermula sekitar 12.40 tengahari.

Beberapa pengurusan pejabat sekitar kawasan berkenaan juga dilaporkan terpaksa dihentikan sementara waktu kerana mesin dan alat komunikasi mereka tidak dapat disambungkan.

Pada Rabu, kecoh di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram rungutan hampir kesemua penduduk sekitar Lembah Klang terkesan dengan masalah bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.

Mereka meluahkan rasa kecewa apabila tiada sebarang notis gangguan dikeluarkan oleh pihak tertentu temasuklah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Meninjau ke laman Facebook dan Instagram, ramai berkongsi keadaan kawasan tempat tinggal dan lokasi mereka yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik termasuk di Bangi, Bandar Tun Razak, sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam