Terperangkap dalam lif akibat putus bekalan elektrik

Anggota bomba menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap di dalam lif sebuah pusat beli-belah di Seksyen 13, Petaling Jaya pada Rabu.
Anggota bomba menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap di dalam lif sebuah pusat beli-belah di Seksyen 13, Petaling Jaya pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang wanita berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam lif dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 13 di sini pada Rabu.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 1.13 petang.

"Sampai di lokasi dapati lif telah tersangkut di tingkat empat dan terdapat seorang wanita berusia 28 tahun di dalamnya.

"Mangsa bagaimanapun berjaya dibawa keluar selepas terperangkap kira-kira 10 minit," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca akibat premis enam tingkat itu terputus bekalan elektrik.

Pada Rabu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak jam 12:39 tengah hari.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan melibatkan 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

Antara kawasan-kawasan terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.