Polis lupus 7,000 barang kes am, perjudian

Lebih 7,000 barang kes dilupuskan pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Ara Damansara pada Rabu.
Lebih 7,000 barang kes dilupuskan pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Ara Damansara pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 5,361 barang kes perjudian dan 1,840 barang kes am dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Ara Damansara di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pelupusan berkenaan melibatkan barang kes yang dirampas sejak tahun 2007 hingga 2022 membabitkan 670 kertas siasatan.

"Pada hari ini barang kes am yang akan dilupuskan adalah 1,840 merangkumi barangan seperti pakaian, pelbagai jenis senjata berbahaya iaitu pisau, parang dan batang besi serta beg, barangan elektronik dan dokumen terdiri daripada laporan forensik.

"Selain itu, sebanyak 5,361 barang kes perjudian yang akan dilupuskan terdiri daripada 3,914 barangan elektronik seperti komputer, laptop, telefon dan tablet yang dirampas daripada kegiatan perjudian dalam talian," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelupusan Barang Kes di sini pada Rabu.

Fakhrudin berkata, pihaknya turut melupuskan sebanyak 1,447 mesin simulator perjudian, dan beberapa barang lain termasuk daun terup, buah mahjong, dadu, mesin pencetak, meja serta kerusi.

"Selain itu, turut dilupuskan adalah wang tunai hasil perjudian berjumlah RM101,151 dan 410 Yuan yang dirampas menerusi Op Dadu sejak tahun 2011 hingga 2022. Wang tersebut akan diserahkan kepada perbendaharaan negara," ujarnya.