RUU Anti Lompat Parti: Mesej kepada ahli Dewan Rakyat

Ismail Sabri ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dibuat untuk memberikan mesej jelas kepada setiap ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan RUU ini juga merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan.

Malah, beliau juga yakin RUU ini mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang.

“Penggubalan RUU ini mengambil masa hampir setahun. Sesungguhnya, proses penggubalannya bukanlah suatu proses yang mudah kerana ia melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen.

“Sehubungan itu, sokongan semua ahli Yang Berhormat kepada pindaan Rang Undang-Undang ini amatlah penting memandangkan keperluan fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan di mana satu Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga atau 148 (jumlah minimum) daripada jumlah Ahli Majlis Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Sehubungan itu katanya, adalah menjadi harapan beliau untuk melihat RUU ini mendapat sokongan dan diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

“RUU ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

“Semoga RUU ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua ahli-ahli Parlimen yang berjiwa besar,” katanya.