Wanita hilang sejak tiga hari lepas ditemukan lemas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lepas ditemukan maut dipercayai akibat lemas di kawasan teluk di Batu 1, PD Waterfront, Port Dickson dekat sini tengah hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mayat pekerja swasta berusia 31 tahun dari Mambau itu ditemukan oleh seorang lelaki kira-kira jam 1.10 petang.

Beliau berkata, pengecaman dilakukan adik mangsa mengesahkan bahawa ia adalah mayat kakak kandungnya berdasarkan kepada pakaian yang dipakai wanita itu sebelum keluar rumah tiga hari lepas.

"Pada tarikh itu juga bapa mangsa telah membuat laporan polis berkaitan kehilangan wanita itu dan kenderaannya dijumpai semula bersama barangan peribadi dalam kereta yang masih berkunci di kawasan lapang berdekatan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson,” katanya dalam kenyataan malam Selasa.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil bedah siasat. - Bernama