Jamal mahu fail notis rayuan kes saman fitnah Teresa

Keratan laporan Sinar Harian.
Keratan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan perbicaraan kes saman fitnah ke atas bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Jamal berkata, beliau akan memfailkan notis rayuan selepas mendapat nasihat peguam baharu yang dilantiknya.

"Telah melantik peguam baharu untuk memfailkan rayuan keputusan ini ke Mahkamah Rayuan

"Peguam baharu saya sekarang berada di London akan memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat," menurut Jama menerusi kenyataan dikongsikan di Facebooknya, pada Selasa.

Pada Selasa, Teresa memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal berhubung dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Teresa memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017 dan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam Facebook milik Jamal.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.