SSC kini Ahli Bersekutu PSM

Mohd Sumali Reduan
Mohd Sumali Reduan
A
A
A

PIHAK Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), bersetuju menerima Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sebagai Ahli Bersekutu PSM berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menerusi satu kenyataan media pada Selasa sekali gus menjadikan persatuan berkenaan kini memiliki lima Ahli Bersekutu.

Menurut Mohd Sumali, penerimaan PSM terhadap SSC secara tidak langsung menambahkan lagi bilangan Ahli Bersekutu PSM ketika ini.

“Alhamdulillah, hari ini (Selasa), kita menerusi Jawatankuasa Tertinggi PSM telah menerima satu lagi Ahli Bersekutu iaitu pihak SSC.

“Kita yakin penyertaan SSC bukan sahaja dapat memanfaatkan bukan sahaja pembangunan sepak takraw di Sarawak, tetapi turut memberikan impak positif dalam arena sepak takraw dalam negara,” katanya menerusi kenyataan media itu.

Sebagai makluman, SSC merupakan salah satu daripada anak syarikat Kerajaan negeri Sarawak yang ditubuhkan di bawah Ordinan Sukan Negeri Sarawak dan diamanahkan untuk merancang dan melaksanakan program-program pembangunan sukan di seluruh negeri.

Bagaimanapun menerusi surat bertarikh 20 Julai 2022, pihak SSC mengemukakan permohonan untuk menyertai PSM sebagai Ahli Bersekutu.

Justeru, kehadiran SSC menyaksikan PSM kini memiliki lima Ahli Bersekutu selain Angkatan Tentera, Polis,, Bomba dan Penjara manakala Perak, Pahang, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah, Pulau Pinang dan Kedah kekal sebagai ahli gabungan.