Negara perlukan lebih ramai pegawai dietetik KKM

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika berucap sempena 3rd MOH Dietitians’ Quality and Research Convention (DQRC 2022) bertemakan "Expand The Possibilities" di Auditorium Kompleks E, pada Selasa. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika berucap sempena 3rd MOH Dietitians’ Quality and Research Convention (DQRC 2022) bertemakan "Expand The Possibilities" di Auditorium Kompleks E, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keperluan pegawai dietetik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat mendesak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, setakat ini kementerian itu hanya mempunyai seramai 469 orang pegawai dietetik yang berkhidmat di hospital dan klinik kesihatan (KK) di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 353 pegawai ditempatkan di hospital dan KK (89), ibu pejabat KKM (13), sekolah sukan dan hospital angkatan tentera (sembilan) manakala lima lagi cuti belajar," katanya.

Menurutnya, jumlah tersebut idak mencukupi bagi memenuhi keperluan di semua 145 hospital dan 651 KK.

"Ratio semasa adalah 1 pegawai dietetik bagi setiap 33 pesakit dan ia sepatutnya 1:10 setiap hari. Contohnya, penyakit jarang jumpa dan kanser, pesakit tidak boleh mengambil makanan sewenang-wenangnya dan memerlukan nasihat pakar dietetik," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Kualiti dan Kajian Pegawai Dietetik kali ke-tiga di sini, pada Selasa.

Tambah Dr Noor Azmi, dengan trend pemakanan yang membimbangkan dan penyakit jarang jumpa (rare diseases), KKM membuat permohonan pertambahan bagi jawatan tersebut.

Dr Noor Azmi berkata, kementerian dalam proses memohon pertambahan jawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menampung keperluan itu.

Sementara itu, mengulas langkah jangka pendek bagi mengatasi keperluan itu, beliau berkata, pegawai dietetik yang ditempatkan di sesebuah hospital turut melakukan lawatan ke hospital dan KK yang tidak mempunyai pegawai dietetik.

"Bagi kes yang dirawat di hospital, doktor akan memberi nasihat pemakanan kepada pesakit," katanya.