Sidang DUN: Selangor perkenal Peta majukan sektor pertanian moden

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperkenalkan dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (Peta) bagi memajukan sektor pertanian baharu dengan lebih teratur dan tersusun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dasar baharu pertanian itu memberi penekanan kepada sektor pertanian yang mampu menghasilkan pulangan tinggi menerusi kaedah moden.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memberi arahan tanah kerajaan negeri yang dikenal pasti akan diwartakan mengikut keperluan dan atas tujuan pertanian.

"Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor (YS) telah mengemukakan senarai tanah kepada Unit Pemodenan Pertanian Seksyen Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkaitan kesediaan kerajaan negeri memberi arahan baru supaya tanah yang masih belum membangun digalakkan untuk pelaburan pertanian moden semasa sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pada Selasa.

Amirudin memberitahu, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bertanggungjawab menguruskan Projek Pertanian Bersepadu di Sungai Rasa, Hulu Selangor sejak tahun 1992.

Kata beliau, MBI serta PKPS bersetuju untuk berkolaboratif bagi melaksanakan Projek Pertanian Berteknologi Tinggi di bawah Pemantauan Exco Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertaniandan Industri Asas Tani.

"Kolaboratif MBI dan PKPS bakal melibatkan tanah milik MBI di Batu 29, Batu Arang, Mukim Rawang, Daerah Gombak seluas 781.473 ekar (312 hektar)," katanya.