Keluarga mohon bantuan kesan wanita OKU hilang

Hebahan Zakiah Yusra yang hilang sejak Khamis lalu.
Hebahan Zakiah Yusra yang hilang sejak Khamis lalu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Zakiah Yusra Zainuddin, 31, dilaporkan hilang dari rumah ibu saudara di Jalan Meranti, Bandar Utama, Batang Kali sejak Khamis lalu.

Adik mangsa, Zafiah Eni Zainuddin, 29, berkata, kakaknya yang mesra dipanggil Kiah disedari hilang sekitar jam 8 pagi ketika ibu saudara memanggilnya untuk bantuan.

Menurutnya, mereka enam beradik tinggal bersama ibu saudara sejak 16 tahun lalu selepas ibu bapa mereka bercerai.

"Saya dah cari kawasan perumahan dan bertanya kepada saudara-mara dan keluarga terdekat namun tiada yang nampak Kiah. Dia keluar bersama kad pengenalan tetapi telefon ditinggalkan di rumah.

"Biasa kalau keluar, dia akan pulang beberapa jam kemudian, tapi kali ini sudah hampir seminggu menghilang, masih tiada khabar berita yang diterima," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Zafiah berkata, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Batang Kali pada Ahad lepas selepas usaha menjejaki Kiah yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu tidak berjaya.

"Saya bimbangkan keselamatan dia kerana dia perempuan dan OKU (lembab pelajaran). Takut kehilangannya ada unsur jenayah atau ada pihak yang mengambil kesempatan ke atasnya.

"Kali terakhir kami jumpa dia pada malam sebelum dia hilang. Selama ini kami berikan cukup makan dan pakai, tak pasti jika dia ada masalah lain," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau terjumpa mangsa boleh menghubunginya di talian 017-2711061.