Kem pecut belajar ilmu elak berlepas lebih awal

Mohd Manshahar
Mohd Manshahar
A
A
A

BARISAN pelari pecut terbaik dan atlet junior kebangsaan julung kali menjalani latihan dengan bantuan sistem 'false start', pada sesi simulasi teknologi itu di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Atlet kebangsaan yang menyertai sesi simulasi itu adalah dua pemenang pingat emas Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan (edisi 2017) dan Muhammad Haiqal Hanafi (edisi 2019), Muhammad Arsyad Md Saat dan atlet muda meningkat naik Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Ketua skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, inisiatif itu bertujuan memberikan pendedahan, bagi memperbaiki tindak balas masa selain mengurangkan risiko berlepas lebih awal dalam larian memandangkan teknologi sama digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Innotex, kerana telah bantu mengendalikan satu simulasi sangat baik dan ini amat penting untuk bantu atlet mengetahui bagaimana peralatan canggih ini berfungsi.

"Kita tahu bahawa ketika di garisan permulaan 100 atau 200 meter (m), tindak balas masa amat penting untuk menentukan sama ada (larian) boleh dibatal atau tidak dibatalkan," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.18 saat (s), Muhammad Haiqal dan Muhammad Arsyad masing-masing akan menggalas cabaran negara di temasya Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turkiye dari 9 sehingga 18 Ogos ini.

Sementara itu, Muhammad Azeem akan menyertai Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia dari 1 hingga 6 Ogos ini.

"Saya sangat berterima kasih kepada pihak Innotex, sebab beri peluang untuk bantu saya daripada segi permulaan larian, dalam sesi ini ada penambahbaikan dari set pertama hingga terakhir dan apa yang diraih akan saya gunakan pada larian sebenar," kata Muhammad Azeem.

Dalam pada itu, Khairul Hafiz berkata, teknologi itu memberi pencerahan lebih menyeluruh mengenai perkara yang boleh membatalkan larian seseorang atlet.

"Saya pernah alami (dibatalkan larian) ketika di final Asia Track and Field, ketika itu saya tak tahu kenapa dibatalkan, padahal kalau dalam video orang sebelah saya keluar dulu tapi saya yang dibatalkan. Lepas dah tahu ini kita boleh perbaiki kelemahan dan elak dari ia berulang," katanya. - Bernama