JKM kesan ibu kandung Nur Fatihah

Natrah menunjukkan gambar ibu kandung Nur Fatihah, Noor Shapina (kiri) yang sehingga kini gagal dikesan.
Natrah menunjukkan gambar ibu kandung Nur Fatihah, Noor Shapina (kiri) yang sehingga kini gagal dikesan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda sedang menjejaki ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan yang dipercayai gagal dikesan sejak beberapa tahun lalu.

Pelindung Kanak-kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Natrah Ahmad berkata, kanak-kanak tersebut dinamakan Nur Fatihah, 9, kini berada dalam jagaan sebuah keluarga angkat.

Menurutnya, ibu kandung kanak-kanak tersebut bernama Noor Shapina Muhammad Shukri, 36, dipercayai berasal dari Kampung Sungai Yu, Kota Kuala Muda manakala bapanya, Zainol Hassan, dimaklumkan telah meninggal dunia akibat kemalangan pada tahun 2016.

"Nur Fatihah dilahirkan pada 2 Mac 2013 di Hospital Sik, Kedah dan alamat terakhir keluarga bapa ialah di Kampung Charuk Tualang, Sik," katanya.

Menurut Natrah, Nur Fatihah yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik telah diserahkan kepada keluarga angkat dan kini dalam keadaan selamat.

Gambar terkini Nur Fatihah (kanan) yang berada dalam jagaan keluarga angkat.
Gambar terkini Nur Fatihah (kanan) yang berada dalam jagaan keluarga angkat.

"Bagaimanapun, ibu kandung dikesan bagi tujuan melengkapkan maklumat daftar lewat kelahiran Nur Fatihah yang sehingga kini masih belum memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Jelasnya, pencarian di alamat terakhir yang diberikan juga tidak menemui sebarang petunjuk.

"Kita memohon mana-mana individu yang mengenali atau mengetahui maklumat tentang kanak-kanak ini, diminta tampil membantu.

"Kenyataan dibuat bagi tujuan memudahkan proses pendaftaran agensi berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara,"katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat, boleh menghubungi Natrah di talian 04-4204900.