Himpunan #Turun: 10 individu dirakam keterangan

Antara individu yang hadir untuk dirakam keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
Antara individu yang hadir untuk dirakam keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung himpunan #Turun yang berlangsung di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu.

Kesemua individu terdiri daripada ahli politik, aktivis dan mahasiswa tampil untuk dirakam keterangan bermula jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Isnin

Antara yang dipanggil ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura.

Adam Adli ketika ditemui memberitahu telah memberi kerjasama baik terhadap polis ketika proses rakaman keterangan berkaitan himpunan itu.

"Polis telah menunjukkan beberapa gambar serta menyoal sama ada saya hadir atau tidak pada himpunan itu," katanya di IPD Dang Wangi pada Isnin.

Adam berkata, himpunan tersebut adalah berkaitan isu kebajikan masyarakat dan kerajaan seharusnya mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan dengan keadaan ekonomi pada masa kini.

ADUN Ketari, Young Syefura Othman pula berkata, himpunan itu adalah sebagai suara rakyat berkaitan isu kenaikan harga barang.

"Kita juga mahu kerajaan mendengar lima tuntutan daripada mahasiswa dan aktivis (antaranya ialah memotong gaji Menteri dan Timbalan Menteri, mengawal harga barang, mengekalkan subsidi dan menyelesaikan isu jaminan makanan)," katanya.

Dalam pada itu, Peguam, Syahredzan Johan berkata, anak guamnya, Young Syefura juga telah memberi kerjasama kepada pihak polis dan berharap pihak polis bersikap lebih terbuka terhadap himpunan suara rakyat yang menzahirkan rasa gelisah berkenaan kenaikan harga barang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah selesai merakam keterangan 10 individu dan kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada Sabtu, media melaporkan polis membuka satu kertas siasatan terhadap Himpunan Turun Harga Barang yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Polis telah mengesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang dihadiri kira-kira 100 individu yang terdiri daripada mahasiswa serta ahli politik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!