Selangor FC dibarisi pemain termuda dalam Liga Super

Barisan pemain Selangor FC giat berlatih. (Gambar kecil: Mohd Khairuddin Othman)
Barisan pemain Selangor FC giat berlatih. (Gambar kecil: Mohd Khairuddin Othman)
A
A
A

PASUKAN utama Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) bagi tahun 2022 merupakan skuad termuda dalam kejohanan Liga Super dengan purata umur 25 tahun.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman sehubungan berkata, antara langkah jangka masa pendek diambil adalah sentiasa menjalankan aktiviti dapat meningkatkan keyakinan dan kekuatan diri pemain muda terbabit.

Menurutnya, pemain muda terbabit turut diberikan motivasi secara individu dan khusus bagi membantu mereka untuk bangkit apabila menghadapi sebarang cabaran dan dugaan semasa bermain di atas padang.

Selain itu, beliau memaklumkan, pengambilan lebih ramai pemain bertaraf kebangsaan yang sedang beraksi bersama pasukan Harimau Malaya pada tahun ini juga dibuat bagi menguatkan lagi pasukan bola sepak negeri berkenaan.

"Kemasukan tiga hingga empat pemain kebangsaan Malaysia ini akan memberi impak positif dalam memperoleh kemenangan yang lebih konsisten di samping dapat membimbing pemain-pemain muda Selangor untuk menjadi lebih matang dan yakin apabila bermain di atas padang," katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahmad Mustaqim Othman (PKR- Sabak) mengenai langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi memulihkan reputasi pasukan bola sepak Liga Super Selangor FC yang merudum sejak akhir-akhir ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.

Beliau berkata, antara usaha jangka panjang pula ialah meneruskan usaha pembangunan pemain muda yang berkualiti dan berkelas antarabangsa untuk diserapkan ke dalam pasukan utama Selangor FC.

"Sebagai maklumat pada tahun ini, seramai 11 pemain Selangor dipanggil untuk mewakili pasukan bawah-23 tahun Malaysia ke kejohanan Sukan SEA dan Piala Asia.

"Kesemua pemain terlibat di dalam pasukan bawah 19 dan bawah 23 tahun negara ini mempunyai kontrak jangka masa panjang bersama pasukan Selangor dan diharapkan pembangunan mereka yang berterusan akan memberi manfaat kepada pasukan utama Selangor dalam dua, tiga tahun akan datang," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Selangor FC akan terus bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan akademi-akademi bolasepak elit di bawah anjuran kerajaan dan swasta dalam mencari dan menyerap bakat-bakat baharu.