Allahyarham Mustapha Kamal banyak berjasa

Tan Sri Mustapha Kamal
Tan Sri Mustapha Kamal
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff menghargai jasa tokoh korporat ternama, Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar kerana banyak memberi sumbangan kepada pembinaan kerjaya profesional beliau sebelum ini.

Nik Mohd Hasyudeen yang berkongsi perkara itu di Facebooknya pada Isnin berkata, sewaktu beliau bekerja dengan firma Aidid and Co, kumpulan syarikat Emkay yang dipelopori Allahyarham merupakan antara pelanggan utama syarikat tersebut.

Beliau diberi tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan kepada kumpulan syarikat berkenaan.

“Apabila saya menubuhkan Hasyudeen and Co, mereka mahu mengikut saya. Saya maklumkan kepada mereka bahawa saya ada gentleman agreement (perjanjian budiman) dengan firma lama bahawa saya tak akan mengambil pelanggan mereka.

“Kumpulan syarikat Emkay menyatakan jika saya tak terima mereka akan cari juruaudit lain. Jadi, akhirnya saya akur,” katanya.

Tambah Nik Mohd Hasyudeen, walaupun sebahagian dari kerja-kerja audit diberikan kepada firma yang lebih besar, beliau masih diberikan kerja untuk syarikat-syarikat tidak tersenarai dan syarikat-syarikat peribadi Allahyarham..

“Kesemua ini bukan sahaja membantu firma saya untuk menjadi kukuh, tetapi memberikan kami pengalaman dalam bidang kerja profesional yang lebih mencabar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta orang ramai supaya mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama golongan yang mendapat nikmat.

“Marilah kita doakan semoga ALLAH SWT mengampuni kesemua dosa-dosa beliau (Allahyarham), merahmati dan memasukkan beliau di dalam golongan hamba-Nya yang mendapat nikmat,” katanya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tokoh korporat ternama itu menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua.

Menurut anak Allahyarham, Felina, bapanya meninggal dunia pada jam 7.45 pagi hari ini (Isnin).

Difahamkan, pengasas syarikat hartanah MK Land itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dan akan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.