Chelsea perlu bawa masuk pemain berkaliber

Tuchel - Foto Getty Images
Tuchel - Foto Getty Images
A
A
A

KEKALAHAN 0-4 kepada Arsenal pada aksi final Piala Florida Ahad lalu membuatkan pengendali Chelsea, Thomas Tuchel mahu membawa masuk beberapa lagi pemain berkaliber bagi memperkuatkan skuad kendaliannya menjelang saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) kelak.

Menurut Tuchel, skuad The Blues itu nyata memerlukan pemain baharu yang berwibawa dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan musim ini sekali gus memperbaiki kedudukan ketiga dicapai musim lalu.

"Melihat semula pencapaian kelab musim lalu, kita sebenarnya agak bergelut untuk memenangi perlawanan apabila kehilangan ramai pemain.

Faktor berkenaan turut menjadi penyebab kepada kemerosotan prestasi kelab ini walaupun berjaya menamatkan saingan EPL pada kedudukan ketiga.

“Justeru, kelab ini perlu segera membawa masuk pemain-pemain berkaliber... setakat ini ada dua pemain berkualiti tetapi masih belum menjadikan kelab ini sebagai kompetitif,” katanya.

Pada aksi final berkenaan, penyerang baharu The Gunners, Gabriel Jesus menjaringkan gol pada minit ke-15, Martin Odegaard (36'), Bukayo Saka (66') dan pemain gantian, Albert Sambi Lokonga menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan bagi melengkapkan kemenangan.

Untuk rekod, Piala Florida merupakan kejohanan yang dijadikan perlawanan pemanas badan menjelang saingan musim baharu.

Selain Arsenal dan Chelsea, kejohanan edisi kelapan itu turut disertai kelab Mexico, America serta dua kelab dari Amerika Syarikat (AS), Charlotte FC dan Orlando City SC.

Sementara itu, Tuchel turut mengakui bimbang kemampuan skuad kendaliannya itu bagi mengharungi saingan baharu EPL tidak lama lagi.

Malah katanya, kesebelasan sedia ada dilihat masih belum cukup ‘bagus’ dan bersedia bagi berdepan cabaran getir kelak.

“Kelab ini masih belum bersedia dan sebab itulah saya katakan bahawa beberapa pemain baharu diperlukan bagi memperkuatkan pasukan menjelang sepak mula saingan EPL tidak lama lagi,” katanya.