Kes kren tumbang di Masjidil Haram diarah dibicarakan semula

 Gambar fail menunjukkan kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada September 2015. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada September 2015. - Foto AFP
A
A
A

JEDDAH - Mahkamah Agung Arab Saudi membatalkan pembebasan defendan dalam kes nahas kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, lapor akhbar Saudi Gazette pada Ahad.

Mahkamah tersebut memerintahkan supaya perbicaraan semula kes itu diadakan.

Perintah mahkamah itu dibuat tujuh tahun selepas kemalangan kren di masjid berkenaan yang meragut nyawa seramai 108 orang manakala 238 lagi cedera apabila kren yang terlibat dalam projek pembesaran Masjidil Haram tumbang pada 11 September 2015.

Pada 4 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Jenayah Makkah untuk membebaskan semua defendan dalam kes nahas tersebut.

Pada Disember 2020, Mahkamah Jenayah mengeluarkan keputusannya buat kali ketiga dengan membebaskan kesemua 13 defendan dalam kes itu.

Sebelum itu, dalam keputusan awal pada 1 Oktober 2017, Mahkamah Jenayah membebaskan kesemua 13 defendan yang didakwa dengan tuduhan cuai.

Mahkamah Makkah juga memutuskan bahawa bencana itu disebabkan oleh hujan lebat dan ribut petir, bukannya kesilapan atau kesalahan manusia. - Agensi