'Saya yang lempar mercun dalam sungai, bukan wakil rakyat'

Mohd Rosli bersama laporan polis. (Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan sekumpulan pemancing kesal dengan tindakan individu yang membaling bahan letupan di Jeram Perahu dekat Sungai Sepia di Taman Negara, Sabtu lalu.)
Mohd Rosli bersama laporan polis. (Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan sekumpulan pemancing kesal dengan tindakan individu yang membaling bahan letupan di Jeram Perahu dekat Sungai Sepia di Taman Negara, Sabtu lalu.)
A
A
A

JERANTUT - Seorang kontraktor menafikan dakwaan menggunakan peledak letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling di sini Sabtu lalu seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Mohd Rosli Awang, 44, berkata, sebaliknya dia mengaku melemparkan mercun bola ke sungai terbabit pada 16 Julai lalu.

Dakwanya, sebanyak enam biji mercun dilemparkan ke dalam sungai berkenaan tanpa arahan sesiapa dan daripada jumlah tersebut, dua sahaja yang meletup.

"Saya sebenarnya nak mencuba sahaja tapi tak sangka meletup juga kerana dibaling ke dalam air.

"Saya ingin memohon maaf kerana perbuatan ini telah menjejaskan ramai pihak, ia adalah kesalahan kali pertama dilakukan. Baki mercun telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jerantut pada 17 Julai lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Ujarnya lagi, tindakan tersebut tiada kena-mengena dengan pihak lain khususnya wakil rakyat setempat yang dalam rangka lawatan kerja ke Ulu Tembeling pada 15 dan 16 Julai lalu.

"Insiden ini tular di media sosial pada 18 Julai lalu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.

"Laporan bagi menafikan penggunaan bom peledak untuk mendapatkan ikan dibuat di Negeri Sembilan kerana kebetulan saya ada kerja di sana," jelasnya.

Tegasnya, dalam insiden tersebut, wakil rakyat berkenaan langsung tidak terbabit dan tiada arahan untuk melemparkan mercun terbabit.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan sekumpulan pemancing kesal dengan tindakan individu yang membaling bahan letupan di Jeram Perahu dekat Sungai Sepia di Taman Negara di sini pada Sabtu lalu.

Pemancing yang enggan dikenali berkata, pada hari kejadian, tapak kem mereka dikunjungi satu rombongan yang terdiri daripada 20 orang termasuk tokoh-tokoh kenamaan.