Santhara belum berhubung dengan PBM

Santhara Kumar
Santhara Kumar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar masih belum berhubung dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi menyertai parti itu.

Ia susulan desas-desus Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya itu yang dilaporkan akan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan tidak mengetahui berhubung 'percaturan' politik Santhara Kumar, yang dilapor telah menghantar surat kepada kepimpinan Bersatu pada Jumaat.

"Saya tak tahu, saya tak jumpa dia lagi," katanya ketika ditanya adakah Santhara akan menyertai PBM, sebagaimana dilaporkan portal berita.

Zuraida juga memaklumkan, masih belum berhubung dengan Santhara.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Santhara didakwa menyerahkan surat untuk keluar parti kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, laporan berkenaan adalah tidak benar.

Wan Saiful menjelaskan, isi kandungan surat yang dikemukakan Santhara didakwa hanya menyentuh mengenai hasrat beliau yang mahu melepaskan jawatan sebagai Ketua Sayap Bersekutu dan permintaan Santhara akan dipertimbangkan oleh pimpinan atasan parti dengan sebaiknya.

Santhara adalah antara 10 ahli Parlimen yang mengikut jejak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk keluar PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.